Debaran selepas 10 tahun menanti


KUALA LUMPUR: Lebih 10 tahun tidak beraksi solo dalam persembahan berskala besar, penyanyi Siti Sarah Raissuddin mengakui, pelbagai perasaan menyelubungi menjelang acara Siti Sarah Special Showcase.
Dalam debaran, Sarah, 34, berkata, dia terharu menerima pelbagai kata semangat daripada rakan artis yang turut menanti showcase istimewa di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, 6 Julai ini.
"Sokongan mereka membuatkan saya teruja, apatah lagi, sudah lebih 10 tahun saya tidak menjayakan persembahan besar. Pelbagai perasaan bercampur-baur, terutama memikirkan tarikh persembahan yang semakin dekat.
"Alhamdulillah, sambutan diberikan juga memberangsangkan apabila jualan tiket sudah melebihi 50 peratus. Sokongan rakan artis membuatkan saya gementar, namun ia membakar semangat untuk memberikan yang terbaik," katanya.
Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Semakin itu berkata, dia membuat persiapan rapi untuk memastikan mereka yang datang terhibur dengan persembahannya.
"Saya mahu persembahan itu nanti membawa saya lebih dekat kepada penonton. Lebih utama, mereka yang datang puas dan wang dikeluarkan juga berbaloi," katanya.
Menjanjikan malam yang tidak akan dilupakan, penyanyi lagu Kesetiaan, Jangan Kau Mimpi, Menari Denganku, Sandarkan Pada Kenangan itu membawakan 24 lagu dengan menampilkan Faizal Uzir atau Lok U sebagai pengarah muzik.
Dibawakan Indigital Sdn Bhd, tiket persembahan masih dijual pada harga RM149 (VIP Zone) dan RM129 (Normal Zone) dengan menghubungi talian 017-760 3221 dan 03-7732 0244. (Feride Hikmet Atak).

Comments

Popular Posts