'Guna rating, bukan tapis'


KUALA LUMPUR: Pembikin filem, tempatan berharap kerajaan bersikap lebih terbuka tanpa terlalu banyak kekangan dalam membenarkan karyawan berkarya terutama dalam konteks kebebasan, kreativiti dan kritikan sosial.
Presiden Persatuan Penerbit Filem (PFM), Datuk Norman Abdul Halim berharap dasar keterbukaan dalam penerbitan filem diambil dengan melaksanakan sistem rating, bukannya tapisan bagi filem dihasilkan.
"Sistem rating yang sudah lama diguna pakai di luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS) membolehkan rumah produksi bebas berkarya mengikut sasaran kelompok tertentu.
"Saya secara peribadi menyokong keterbukaan penapisan filem. Bagi saya, pengkarya tempatan bijak membuat pertimbangan dan membikin filem yang masih berlandaskan norma masyarakat rantau timur.
"Sebenarnya, apa yang persatuan mahukan adalah peralihan daripada aplikasi tapisan kepada sistem rating. Saya tidak rasa kebebasan diberi akan disalah guna pengkarya kita," katanya kepada BH Online.
Norman mengulas harapan pembikin filem dan peneraju industri kreatif tempatan terhadap kerajaan baharu dalam konteks penghasilan drama, filem dan kandungan lain.
Norman memberi rasional mengapa perubahan perlu dibuat dengan mengambil contoh laman sosial ketika ini sarat dengan kandungan ganas dan melampau.
"Laman sosial penuh aksi ganas yang hanya berada di hujung jari, bila-bila masa boleh diakses dengan mudah.
"Jadi, aliran perubahan ini perlu dilihat daripada sudut lain. Filem tempatan berdepan banyak kekangan.
"Sebelum filem dibuat, pengkarya terpaksa berfikir apa yang Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan potong... Situasi begini boleh mengehadkan idea," katanya.
Tambah Norman, penilaian boleh dilakukan dengan mengkaji pendekatan Persatuan Penerbit Filem Amerika Syarikat (MPAA) yang melaksanakan sistem rating bagi filem keluarannya.
Selain itu, Norman berharap, syarikat yang menyalurkan dana untuk filem atau drama diberi insentif pelaburan, bukannya geran atau pinjaman.
Menurutnya, insentif berupa potongan cukai untuk pelaburan mampu menggalakkan lebih banyak filem dihasilkan sekali gus merancakkan industri seni kreatif.
"Kalau ada sistem yang bagus seperti pemberian insentif pelaburan untuk filem, pasti lebih banyak penerbitan bermutu dapat dihasilkan tanpa menunggu pemberian dana.
"Apapun, sistem yang ada sekarang banyak beri peluang kepada penerbit aktif dan baharu. Walaupun ada antara mereka boleh dipertikaikan, ia tetap melalui proses penapisan biasa," katanya.
Norman yang juga antara Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios berkata, melalui kajian menyeluruh, kerajaan mungkin boleh memperbaiki segala kelemahan yang wujud.
"Letakkan sistem merit contoh bagi pinjaman atau dana, bergantung kepada merit syarikat.
"Selain itu, lihat dulu keboleh pasaran sesuatu produk yang ditayangkan. Malah, ada penerbit baharu yang terkejar-kejar buat filem sedangkan belum nampak sebarang hasil atau tiada langsung pengalaman.
"Tak perlu tergesa-gesa kalau tak bersedia. KRU buat filem hanya selepas lapan tahun kami beroperasi," katanya.
Pengasas Skop Production, Datuk Yusof Haslam meminta kerajaan mengekalkan Skim Wajib Tayang yang membantu pengusaha filem 'bernafas' dalam berdepan saingan pasaran.
"Bersandarkan pemerhatian, industri masih memerlukan sistem yang menyokong pengkarya seperti Wajib Tayang yang membantu filem tempatan daripada menjadi mangsa keadaan atau dianaktirikan pihak tertentu.
"Penambahbaikan boleh dilakukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) selain menggalakkan penerbitan filem dengan pemberian geran, dana CGI termasuk memperbanyakkan penghasilan filem kenegaraan," katanya.
Mengenai keterbukaan dalam berkarya, Yusof mengajak semua pihak mendalami maksud kebebasan.
"Kita perlu faham konteks keterbukaan dalam berkarya. Bagi saya, LPF boleh bagi kelonggaran sedikit. Ini kerana dunia sekarang tanpa sempadan.
"LPF perlu ada tetapi bukan semata-mata untuk memotong (babak). Beri peluang untuk kita tonjolkan realiti masyarakat sekarang. Namun, dalam kita berkarya, soal bangsa, agama dan keselamatan negara usah dipermainkan," katanya.
Yusof yang pernah mendapat jolokan 'Six Million Dollarman' yakin filem boleh dijadikan 'suara' dalam meluahkan pendapat terhadap sistem pentadbiran negara. Jadi, baginya, tidak timbul soal kekangan untuk meluahkan pendapat.
"Jika kita angkat tema pasukan keselamatan atau pentadbiran kerajaan di layar bukanlah bertujuan merendahkan mana-mana institusi, ia sekadar perkongsian.
"Bagaimanapun, tidaklah dibenarkan bebas 100 peratus... Perlu ada garis panduan. Bimbang nanti ada yang melampau hingga terlupa mengenai sensitiviti masyarakat.
"Kita tak perlu mengikut cara kebaratan sangat hingga sanggup memaki hamun pemimpin di layar perak. Banyak cara lain yang lebih baik untuk meluahkan pendapat," katanya.(Oleh Hanisah Selamat).



Comments

Popular Posts